Saturday 7 December 2013

Bersediakah untuk kahwin...?




“Either her words are magic or she herself is magic,” - someone
Subhanallah. Siapa yang tidak kenal dengan Ustazah Halimah Alaydrus. Seorang pendakwah yang berasal dari Indonesia. Kata-katanya sering sahaja menusuk kalbu. Mata yang kering pasti basah mendengar doa yang dituturkan. Tulus, dan ikhlas.

Subhanallah.
Sangat luarbiasa.

Semalam, saya menghadiri sebuah ceramah yang disampaikan oleh Ustazah Halimah Alaydrus. Seperti yang dijanjikan, pulangnya saya penuh dengan keadaan muhasabah diri. Ceramah yang bertajuk Alam Perkahwinan : Sebuah Realiti atau Fantasi.

Perkahwinan yang diwarwarkan dalam siri drama mahupun sinetron, biasanya akan berakhir dengan married happily ever after. Indahnya perkahwinan yang digambarkan. Tetapi pada hakikatnya, perkahwinan itu merupakan langkah pertama ke dunia yang sangat berbeza. Ia adalah permulaan sebuah lembaran yang baru.

Ramai sekali yang keberatan untuk berkahwin atas alasan belum bersedia lagi. Namun Ustazah menekankan bahawa, tiada siapa pun yang mengorak ke alam perkahwinan dalam keadaan bersedia 100 peratus. Bahkan seorang bayi yang dilahirkan atas muka bumi juga berada dalam keadaan tidak bersedia langsung.

Perkara ini mampu diatas dengan hanya satu syarat; jangan pernah berhenti belajar. Jadikan setiap saat dalam kehidupan kita (atau alam perkahwinan) sebagai saham untuk akhirat kita. Penyesuaian antara seorang suami dan isteri tidak berhenti setakat setahun atau dua. Bahkan ia memakan masa selama seumur hidup kita.

Antara pesan yang disampaikan oleh bonda Asma ketika puterinya hendak berkahwin adalah, jagalah suami kamu daripada 3 perkara ini. Pertama, (1) jagalah matanya. Menjaga mata pasangan kita adalah jangan membiarkan dia melihat kamu dalam keadaan kamu tidak cantik – dalaman mahupun luaran. Sentiasalah berhias dan tersenyum untuknya. Senyuman itu perlu tulus dan bukan dibuat-buat kerana senyuman tulus itu ada nilainya di sisi Allah taala.

Kedua, (2) jagalah hidungnya. Jangan sekali-kali biarkan pasangan kita menghidu bau yang tidak enak dari kita. Rasulullah sentiasa bersiwak sebelum memulakan berbicara dengan pasangannya kerana tidak mahu isterinya menghidu bau busuk dari mulutnya. Dikatakan, apabila Baginda sollahu alahi wa salam berbicara, seolah-olah terhidu wangian dari mulutnya. Subhnallah. Galakan untuk memastikan mulut sentiasa dalam keadaan wangi juga merupakan satu faktor kepada kecerdasan akal dan minda.
 
Ketiga adalah (3) jagalah telinganya. Jangan biarkan pasangan kamu mendengar kata-kata yang tidak baik dari kamu. Biarlah mulut ini hanya mengeluarkan kata-kata helwa kepada pasangan kita dan jangan merosakkan telinganya dengan kata-kata kesat dan cacian.

Hidup kita ini merupakan sebuah pengendalian. Kendalikan lah ia dengan ajaran-ajaran Islam kerana Islam sentiasa menganjurkan kepada kebaikan dan kesempuranaan akhlak.

Antara pesanan Ustazah juga, banyakkan lah mengucap terima kasih kepada pasangan kita. Walau perkara itu sekecil mana sekalipun. Ringankan mulut dengan ucapan terima kasih kerana ia merupakan penghargaan kita kepada pasangan kita. Selain itu, jangan segan untuk sentiasa meminta maaf walaupun secara zahirnya, kelihatan ia bukan salah kita. Rendahkan ego kita demi kebahagiaan rumahtangga yang harmoni.

Begitulah serba-sedikit perkongsian bersama Ustazah Halimah. Moga manfaatnya sama-sama dapat kita amalkan. Insha allah.

“Yang lemah jangan pernah lepaskan ikatan dengan yang maha kuat. Dan tiada yang lebih kuat melainkan dari Allah,” – Ustazah Halimah

Pandanglah kami dengan pandangan rahmatmu ya rab. Yang sudah bergelar isteri, semoga terus menjadi isteri solehah dan qurratu ain pasangan mereka. Bagi yang sedang mencari calonnya, semoga ditemukan dengan pasangan yang soleh, yang dapat membimbing bersama menuju ke Syurga al-Firdaus. Amin.

#terusberdoa

 
Di Masjid al-Rabithah
 
 

No comments:

Post a Comment