*Tajuk diambil sempena gambar ini. Mendapat ilham tiba-tiba apabila mengimbas kembali gambar-gambar lama yang dipetik di HP. Gambar ketika itu di Port Dickson (gambar seorang teman).
Warna biru itu
Bukan
lah warna biru itu warna kegemaran saya. Bahkan jauh sekali untuk memiliki
semua benda yang berwarna biru. Atau berusaha untuk menjadikan barang-barang
saya biru.
Tidak.Biru itu setakat warna. Ada yang menyifatkan biru itu sebagai satu ketenangan. Kedamaian. Apabila mata melihat biru, pasti meresap dalam jiwa satu perasaan yang menyejukkan.
Awan itu biru.
Langit juga biru.Lautan yang terbentang luas juga biru.
Biru itu setakat warna.
***************
Tidak pernah terlintas dalam pemikiran saya ‘pentingnya’ sesebuah
warna itu. Sehinggalah saya menjejakkan kaki ke Universiti di Malaysia. Warna
itu bukan setakat warna tetapi ia melambangkan sesuatu. Sesuatu yang penting di
hati mereka, bahkan amat berharga pada diri masing-masing. Warna itu identiti
diri mereka.
Sepanjang pengajian saya di sini, sudah dua tahun saya mengalami
musim PRK (Pilihan Raya Kampus). Tahun pertama saya pada 2011 dan juga pada semester
pertama tahun terakhir saya pada 2012. Sebelum ini, saya tidak tahu akan kewujudan
PRK itu dan saya tidak sangka gelodakan yang berlaku ketika musim ini agak
mencabar.
Kawan yang sebelum ini apabila bersapa, akan tersenyum.
Apabila berborak, bahagia sahaja.Apabila berkongsi makanan, elok sahaja.
Namun semua berubah apabila musim PRK menjelma. Kadang-kadang kawan
yang dianggap kawan berubah menjadi lawan. Room-mate yang menjadi teman
sebilik tiba-tiba bertukar angin. Seolah-olah bermusuh. Rupanya, angin itu
bertukar kerana ‘sangkaannya saya bukan berpihak kepada kerajaan’.
*Untuk makluman, di sini ada dua pihak parti. Pihak kerajaan (UMNO)
dan pihak pembangkang (PAS). Begitu juga dalam peringkat universiti. Pihak
kerajaan dikenali sebagai Aspirasi manakala pihak pembangkang dikenali sebagai
GMUKM.
Ketika musim ini lah warna mempunyai lambang yang amat ketara.
Yang biru itu Aspirasi
Yang ungu itu GMUKM.
Mana-mana pihak yang berpakaian biru, akan dilihat sebagai
penyokong tegar Aspirasi. Bagi yang berpakaian ungu pula dianggap cenderung
kepada GMUKM. Bagi yang berpakaian SELAIN dari itu, maka dilihat sebagai pihak
yang neutral.
Itu gambaran kasar.
Teringat perbualan saya dengan beberapa teman mengenai isu ini;
“…musim prk ini, elakkan pakai baju ungu. Sensitif. Lagi-lagi kolej kita ini pro-aspirasi. Takut nanti kita dibuang kolej sebab tidak menyokong mereka…”
“…tadi pakai baju ungu rasa semua mata memandang…macam orang buat
salah gitu…”
“Kalau nk selamat, pakai baju biru sahaja…”.
Biasalah. Pihak pembangkang akan sentiasa dilihat sebagai pihak
yang menentang kerajaan. Jadi tidak hairanlah jika ia dianggap sebagai satu ‘kesalahan’
atau satu perkara yang ‘luar tabii’ jika kita menyokong mereka.
Teringat kata-kata ayah saya, “kadang-kadang pihak pembangkang ini
penting. Kalau tak, kerajaan akan syiok sendiri. Ingat semua perkara yang dia
lakukan adalah betul. Pihak pembangkang ini yang akan memastikan suara
rakyat didengari dan memastikan kerajaan tidak lakukan apa sahaja dengan suka
hati…”.
Kebebasan warna
Hingga hari ini, warna itu meninggalkan kesan dalam diri. Kadangkala bila berpakaian ungu, sengaja usik dengan kawan, “wah…sokong
gmukm lah..”. Bila berpakaian biru pula, “…hari ini nak sokong aspirasi pula lah…”
Tetapi sebenarnya bukan warna itu yang utama. Apa yang penting
adalah corak pemikiran kita. Bagaimana kita membawa fikrah-fikrah dan idea-idea
dalam minda kita. Jika benar kita sokong pihak itu, adakah pihak itu
benar-benar pihak yang dapat membawa kemaslahatan untuk ummah dalam negeri?
Jikalau ya, teruskan dan genggamlah perjuangan dengan erat. Jikalau apa yang
kita pilih itu akan membawa kerosakan dan kemaksiatan kepada rakyat, maka
bersedialah untuk menjawab di akhirat kelak. Kerana kita lah punca kepada
pemilihan pihak tersebut.
Jikalau setakat sibuk dengan warna pakaian, sibuk dengan warna tema
perkahwinan, sibuk dengan warna barang-barang pemilikan kita, tetapi tidak
mendalami erti perjuangan yang sebenar, tidak memahami visi dan misi yang
dibawa, maka saya nasihatkan….
Pakai sahaja lah hitam.
Buta pada pemandangan.Buta juga pada hati.
Semoga Allah pelihara hati-hati kita dari melakukan sesuatu yang
bukan dengan keredhaannya.
Ahmarul Faatih
9 Disember 2012
wow!!menarik entri nya..kalau warna pink cmne??hehe
ReplyDeletesangat menarik entry ni... dari sudut pandang orang singapure... hee.. ^_^
ReplyDelete