Syaitan.
Keengganannya untuk sujud pada Adam sebagai tanda penghormatan
jelas menunjukkan dia penuh dengan keego-an.
Mana mungkin aku sujud pada insan yang diciptakan dari tanah?
Sedangkan aku lebih mulia daripadanya.Aku diciptakan daripada api.
Bongkak.
Takabbur.**********
Pengisian qiyam bersama dengan penasihat kelab Syariah (al-Hujjah)
sedikit sebanyak memberi kesan dalam hati. Kami menyentuh mengenai isu takabbur.
Sifat ini nampak seperti ‘biasa’ atau ‘tidak ada apa-apa sangat lah’, tetapi
sebenarnya ia membawa kesan yang mendalam dalam jiwa manusia. Bahkan dalam sebuah
hadith diriwayatkan bahawa sifat ini
yang disebut sebagai sifat yang amat dibangga-banggakan oleh ahli neraka – al-jabbarun
wal mutakabbirun . Wal ‘iyazu billah.
Sifat takabbur disebut
dalam tazkirah malam semalam adalah kerana ia merupakan perkara yang amat
berkait rapat dengan seorang pemimpin. (#Tazkirah bulanan ini diadakan di
kalangan pemimpin sahaja) Seorang pemimpin itu diberi ‘nikmat’ yang lebih oleh
Allah ta’ala iaitu dengan memiliki kuasa.
Kuasa untuk memimpin ‘orang bawahan’.
Kuasa untuk mengerakkan sebuah program berlandaskan kepada
fikrahnya.Kuasa untuk dipatuhi dan didengari suaranya.
Itulah kuasa sebuah kuasa.
Dan dengan kuasa tersebut, akan tersemat (paling tidak sedikit pun)
perasaan takabbur dan bongkak itu.
Aku lebih berkuasa daripada dia.
Kesan dari sifat takabbur
dan bongkak
Apabila langkah yang diambil langkah seorang takabbur dan bongkak.
Gaya dan penampilan juga menunjukkan dia lebih hebat.Percakapannya penuh dengan gaya yang lagak.
Hanya kerana satu sebab: Aku ada kuasa.
Apabila seseorang itu mula dikuasai, dia mula meminggirkan
pandangan dan pendapat orang lain. Dia mula tidak mengendahkan pendapat yang
BETUL hanya kerana memihakkan kata-katanya yang dirasai tepat.Tidak mahu
mengaku kalah kerana mahu mempertahankan pendapatnya. Mahu mempertahankan
maruahnya. Walaupun dia berada dalam kebatilan.
Sifat angkuh itu sebenarnya menunjukkan sifat-sifat yang dimiliki
syaitan ada pada dirinya juga. Mahukah kita dicampakkan keluar dari syurga,
sebagaimana Iblis dicampak keluar dari syurga kerana sifat bongkak?
Takabbur dan bongkak itu didefinisikan sebagai menolak kebenaran,
dan memperlekehkan pendapat orang lain.
Memperlekehkan pendapat orang lain.
Sedangkan Nabi Muhammad yang merupakan pemimpin dunia, mendengar
dan mengambil pendapat sahabat dalam peperangan Khaibar.
Apatah lagi kita?
Ilmu hanya sejengkel, berlagak macam kita empunya ilmu di dunia.
Disebut dalam Quran, “Dan janganlah engkau memalingkan muka kamu
(kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi
dengan berlagak sombong sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang
yang sombong takbur, lagi membanggakan diri,” (surah al-Luqman 31:18).
Penampilan juga boleh membawa kepada takabbur dan bongkak?
Bagaimana pula sekiranya kita ingin berkongsi kenikmatan yang kita ada dengan orang sekeliling? Contohnya dengan mengenakan pakaian baru? Atau pakaian yang cantik? Adakah ini dikira sebagai takabbur juga?
Lihat pada NIAT.
Jika pelaku nya membuat demikian kerana kerana niatnya untuk menunjuk-nunjuk, maka takutlah Allah! Namun sekiranya niatnya hanya untuk berkongsi bersama kenikmatan yang diberikan Allah, maka pahala baginya, insha allah! :)
Kerana apa?
Kerana Allah itu cantik, dan suka kepada KECANTIKAN =)
Langkah untuk mengatasi
sifat tersebut
Sentiasa sematkan dalam diri ini bahawa kita semua hamba Allah.
Tidaklah kita diciptakan di muka bumi ini kecuali untuk beribadah kepada-Nya.
Tiada siapa yang dapat melebihi saudaranya yang lain kecuali dengan KETAQWAAN.
Jadi adakah kita layak untuk bertakabbur dengan tahap ketaqwaan
yang ada dalam diri kita? Layakkah ke kita?
Tepuk dada tanya iman.
Perbanyakkan doa , “Ya Allah sesungguhnya kami banyak menzalimi diri kami dan sekiranya engkau tidak mengampuni kami, tidak merahmati kami, sungguh kami berada dalam golongan mereka-mereka yang rugi!”
Adam apabila melakukan kesilapan dan doa, dia akan memohon
keampunan dari Allah dengan kadar yang segera. Menunjukkan kepada kesungguhan
Adam untuk bertaubat, dan sungguh Allah sentiasa memberi peluang kepada hamba-hambanya
untuk bertaubat.
Semoga kita dijauhkan dari sifat-sifat yang dapat menjauhkan diri
kita dari mendapat rahmat Allah ta’ala. Allahumma amin.
Ahmarul Faatih
15.12.2012.
No comments:
Post a Comment