Friday, 23 November 2012

Nangka Busuk



Nangka busuk

“sedih rasanya kalau kita buat program tak ramai yang join,”
“..lagi sedih kalau kita buat program untuk batch tertentu, dan orang tersebut tidak hadir

Perbualan ini aku yakin biasa didengari. Terutama sekali antara penganjur dengan mereka yang bersungguh-sungguh menjayakan program ini. Dan tidak lupa juga kepada kewujudan ‘nangka-nangka’ busuk yang mengeruhkan bau enak nangka tersebut.

**************

Akhlak

Dalam berprogram, pasti akan ada kekurangan dan kelebihan. Yang kekurangan itu, kita boleh melihatnya dari sudut positif untuk lebih memperbaikinya pada masa akan datang. Yang kelebihan itu, Alhamdulillah, semuanya berpunca kepada kesungguhan dalam menjayakan program tersebut dan semestinya pertolongan dari Allah taala.  

Dalam ber-program juga, pasti akan ada golongan yang bersungguh-sungguh menjayakan program, dan juga mereka yang kurang bersungguh untuk bersama-sama menjayakan program.

Mana pun golongan yang wujud, sedarlah bahawa diri itu perlu BERAKHLAK.

Perkara pertama dalam berakhlak sesama manusia adalah ucapan terima kasih. Nampak sangat ringkas tetapi membawa makna yang amat mendalam. Sehinggakan terdapat sebuah hadith yang mengatakan , “ Siapa yang tidak mensyukuri manusia, maka dia tidak mensyukuri Allah ,”. Begitu tinggi nilaian berterima kasih itu sehingga  berada di tahap yang sama dengan mensyukuri nikmat Allah. Masya Allah.

Teringat aku sebuah ceramah yang aku hadiri. Semasa ceramah, kami disuruh untuk berdiri dan kemudiannya memandang ke sebelah kanan. Kemudiannya kami disuruh untuk ‘mengurut’ bahu kawan yang berada di hadapan kami. Maka mulalah sesi urut-mengurut di kalangan kami. Kedengaran gelak-ketawa dan kepuasan muka masing-masing apabila diurut. Manakan tidak, dapat urut percuma! J Kemudiannya, kami disuruh berpusing ke kiri pula. Dan sesi urut-mengurut dan di-urut bermula sekali lagi. Lega rasanya! ^_^

Selesai sahaja, kami disuruh duduk. Sejurus duduk sahaja, penceramah bertanya, “Siapakah di antara kamu yang mengucapkan terima kasih kepada kawan yang mengurut-nya,”. Hanya segelintir sahaja yang mengangkat tangan. Segelintir sahaja daripada berpuluh-puluh hadirin yang datang. Penceramah berkata, “This shows our ATTITUDE. We have ATTITUDE PROBLEM,”.

Benar sekali apa yang diulaskan oleh penceramah.
Budaya berterima kasih.
Apakah berat sangat mulut ini untuk mengucapkan terima kasih?
Dua patah perkataan, tapi amat memberi kesan kepada yang mendengarnya.

Alasan yang tidak munasabah

Islam agama yang menitik-beratkan ukhwah.
Ukhwah itu mempunyai nilaian yang tinggi di sisi Allah.
Hadith mengatakan, “Tidak beriman seseorang itu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri,”.

Apa yang kamu mahukan untuk diri sendiri, itu juga yang kamu mahukan untuk saudara kamu.
Kamu hendak lulus peperiksaan, kamu mahu kawan kamu juga lulus peperiksaan.
Kamu mahu siapkan thesis kamu, kamu juga mahu kawan kamu siapkan thesis.
Kamu mahu masuk syurga, biar beriringan tangan bersama teman-teman untuk masuk syurga.

Ukhwah itu manis.
Terlalu manis jika ia disandarkan kepada Allah taala.

Dan kerana itu, setiap program yang diadakan oleh teman-teman, seboleh-bolehnya saya akan cuba untuk turut serta. Mungkin dengan cara ini, dapat memberi sokongan secara tidak langsung kepada mereka.

Jikalau ada alasan yang munasabah, seperti kurang sihat, atau tidak berada di tempat kejadian, maka alasan masih boleh diterima. Sekurang-kurangnya, jika tidak boleh hadir, boleh beritahu kepada rakan yang lain sebab tidak boleh hadir. Jangan setakat menghilang atau mendiamkan diri sahaja.  

Jikalau alasan yang mampu diberikan hanya semata-mata kerana MALAS, atau ada kerja lain hendak dibuat, maka muhasabahlah diri sendiri. Adakah kita akan MALAS sepanjang masa? Adakah kita akan ‘sibuuuk’ memanjang? Adakah kita lebih suka mendiamkan diri keseorangan?  

Fikirkan lah.
Fikirkan lah.
Anda adalah apa yang anda bentuk hari ini.

Jikalau satu hari nanti, anda yang menjadi penganjur/ketua program, dan tiada siapa atau kurang orang untuk menyertai program anda, maka anda tahu dimana silapnya.

Penutup

Cuba kita celikkan mata kita.
Bukalah minda kita.
Celikkan hati kita.
Hargailah orang di sekeliling kita.
Sampai bila kita nak jadi ‘nangka busuk’.

Sekali-sekali jadilah nangka yang elok, supaya dapat menjadi manfaat kepada orang yang memakannya. Supaya dapat menjadi manfaat kepada Islam.

Insha Allah.

#Entri ini tidak ditujukan kepada sesiapa. Ia adalah penulisan yang umum. Siapa yang ‘terasa’ mungkin boleh dilihat dari sudut yang positif. Minta maaf atas segala kekurangan.

Ahmarul Faatih
24 November 2012 

No comments:

Post a Comment