Tuesday, 20 November 2012

Memaknakan sebuah pemberian


 


“kak nak minta tolong translate kan boleh?”
“..saya tak faham petikan ini. Dah google translate tapi still tak faham
nanti nk minta checkkan assignment arab boleh?”

 *********

Alhamdulillah. Allah telah memberi manusia peluang untuk berkhidmat. Perkhidmatan itu datang dalam bentuk menghulurkan tenaga. Berkongsi dengan teman-teman seperjuangan untuk sama-sama berjaya dalam pengajian. Biar kita tanamkan dalam diri, nak masuk syurga biar beramai-beramai. Untuk membiarkan diri atau teman sekeliling ke neraka (wal ‘iyazul billah) tidak sekali.

Penyucian hati

Ramai yang tidak sedar apabila kita memberi kita sebenarnya sedang berjuang dengan nafsu. Manakan tidak, kita ‘terpaksa’ memberi sesuatu yang dekat dengan kita. Sesuatu yang kita sayang dan susah untuk melepaskannya. Sama ada pemberian itu dalam bentuk masa, tenaga maupun harta benda. Semuanya perlukan kepada jihad.

 Firman Allah dalam surah Baqarah, “Tidak seseorang itu mendapatkan kebaikan melainkan dia mengeluarkan (memberi nafkah) apa yang dia sukai,” . Ayat ini menyebutkan perkataan ‘apa yang dia sukai’.

 
Tentu berat untuk melepaskan perkara yang disukai.
Wang yang diperolehi hasil daripada kerja keras sepanjang hari.
Masa yang kita telah ‘peruntukkan’ untuk melakukan perkara yang disukai – tidur, makan, melepak dengan kawan-kawan.
Tenaga kita biarlah kita ‘simpan’ untuk kuliah esok. Kalau tak nanti penat & ngantuk esoknya nak pergi kuliah.

Itu semua perkara yang disukai dan dicintai kita. Dan perkara tersebut yang mendapat kebaikan sebenar di sisi Allah jika kita mengeluarkannya / memberikannya.

Dalam sebuah buku ‘Reclaim your Heart’ karangan Yasmin Mogahed, pengarang ada menyentuh mengenai false attachment di dunia. Allah itu sebenarnya cemburu melihat dalam hati hambanya ada cinta selain dari-Nya. Maka atas sebab itu, Allah memerintahkan untuk mengeluarkan zakat, contohnya. Perkataan zakat itu sendiri membawa makna penyucian. Iaitu penyucian jiwa. Apabila seseorang itu mengeluarkan zakat, maka secara tidak langsung, telah berjihad dengan dirinya untuk mengeluarkan sebahagian daripada apa yang dicintainya. Mendidik diri untuk tidak hub dunia.

Begitu juga apabila perkhidmatan kita diperlukan secara ‘percuma’. Kawan sekerja meminta jasa baik untuk membantu menyelesaikan tugasannya. Kawan-kawan seperjuangan minta tolong untuk mengajarkan madah yang kurang difahami. Makanya, kita yang berada di ‘atas’ perlu merendahkan diri untuk bersama mereka; memberi penjelasan atas apa yang tidak difahami. Pertolongan ini secara hakikatnya menurunkan ego manusia. Manusia ini sebenarnya ego, sombong dan bongkak!

Berapa ramaikah di antara kita apabila kawan minta tolong, akan segera menyahut?
Mungkin ramai. Alhamdulillah.

Berapa ramaikah apabila KERAP KALI diminta tolong, akan menyahut?
J Tepuk dada, tanya hati.
Bisikkan kepada hati, untuk tanya iman kita.

Kenapa perlu memberi?

Bergerutu juga hati ini apabila orang minta tolong.
“asyik minta tolong je.dia tak boleh buat sendiri ke
aku tengah sibuk ni. Tak boleh nak tolong
alah cuba tanya orang lain. Aku tak reti lah

Kadang-kadang itu hanya alasan. Alasan yang disandarkan atas rasa MALAS. Malas untuk membantu teman. Ada kepentingan sendiri yang kononnya lebih utama untuk diselesaikan.

Ada beberapa kebaikan yang boleh dikecapi daripada pemberian yang ikhlas. Antaranya adalah pahala yang berpanjangan. Apabila kita menghulurkan bantuan, atau kita yang menjadi pencetus kepada kefahamannya terhadap sesuatu, maka kita akan mendapat pahalanya selagi mana ia mengamalkannya.

Mengajar teman subjek yang kurang difahami, atau membantunya dalam tugasan. Selagi dia mengamalkan ilmu yang kita sampaikan, selagi itu kita mendapat pahala. Usaha kita hanya 5 minut, tapi pahala berpanjangan untuk 5 hari? 5 minggu? 5 tahun?, tak ke ia meng-untungkan? J

Hadith “Wallahu fii ‘awnil ‘abdi ma kanal ‘abdu fi ‘awni akhihi,”. Ia cukup memberi semangat untuk terus memberi dan menghulurkan tangan. Kadangkala, tiada pertolongan yang mampu dihulurkan oleh manusia kerana manusia itu hakikatnya penuh kelemahan. Penuh dengan keterbatasan. Siapa yang mampu untuk menolong kita pada bila-bila masa dan di mana jua pun? Hanya Allah subhanahu wa ta’ala yang sentiasa ‘sudi’ untuk membantu kita. Dan bagaimana caranya untuk mendapatkan pertolongan Allah? Dengan mengikut hadith di atas : Sentiasa membantu kawan-kawan yang memerlukan bantuan kita.  

Penutup

Semoga hati ini sentiasa celik untuk membantu.
Semoga hati ini sentiasa bersedia untuk berkhidmat.
Semoga hati ini tidak bergantung kepada selain-Nya.
Semoga hati ini disaluti dengan keimanan dan ketaqwaan.

Ya Allah! Aku mohon kepada-mu hati yang suci. Hati yang bersih.
Hati para anbiya dan para sahabat.
Perkenankan ya rab.

Ahmarul Faatih.
21 November 2012.

 

No comments:

Post a Comment