Sunday, 31 March 2013

Sebuah kematian

Sejak kebelakangan ini, saya sering mendengar tentang kematian.

Dua orang teman saya kehilangan bapanya secara mengejut.
Seorang lagi kehilangan ibunya kerana penyakit kanser.
Seorang teman sefakulti meninggal dunia ketika tidur.

Ya Allah.
Ya Allah….

Tiada perasaan yang dapat diungkapkan melainkan dengan linangan air mata. Dititipkan juga doa agar ahli keluarga yang menghadapi kematian terus tabah dan sabar dengan dugaan tersebut.

Seringkali saya bermain dengan perasaan sendiri. Adakah saya bersedia untuk menghadapi kematian? Dan adakah saya kuat untuk berhadapan dengan sebuah kematian?

Risau.
Takut.

Kematian adalah sebuah KEPASTIAN. Berat mana pun kita mahu melepaskan orang-orang yang kita sayang; emak, ayah, kakak, abang, adik, suami, anak dan lain lagi, kita terpaksa juga melepaskan mereka satu ketika nanti. Jikalau bukan sekarang, pasti esok atau lusa. Jikalau bukan mereka yang pergi dahulu, pastinya kita yang akan ditimbus tanah terdahulu.

Berat.
Payah.

Kadangkala saya berfikir, kenapa sebenarnya kita perlu diuji dengan sebuah kehilangan. Kenapa Allah menarik semula kasih sayang yang telah kita pupuk dan kemudiannya ditinggalkan terkapai-kapai kesepian…kesunyian…kesedihan…?

Ayat al-Quran sering menjadi penyejuk hati dan sekaligus jawapan bagi minda yang sering sahaja bergelodak. Firman Allah :
 

Saya juga ketika ini sedang menghadam kitab Kompas Umat Akhir Zaman karangan Ustaz Umar Muhammad Noor. Apabila kita menghayati isi kandungan buku tersebut, boleh meremang bulu roma. Manakan tidak, ia menceritakan dengan teliti (dan yang penting, kesahihan isi tersebut) bagaimana manusia itu berhadapan dengan kematian, sama ada ketika dalam kubur mahupun selepas itu. Ia menambahkan keyakinan bahawa kita akan melalui detik-detik tersebut, dan mereka yang telah meninggalkan kita juga sedang menghadapi detik-detik itu.  Memetik sedikit mutiara-mutiara dari buku tersebut :

# Imam Yahya bin Mu’az al-Razi berkata : Orang yang bahagia ialah siapa yang meninggalkan dunia sebelum dunia meninggalkannya, yang menyediakan kuburnya sebelum dia masuk ke dalamnya dan yang meredhai Tuhannya sebelum Dia meredhainya.

# “…kubur ialah tempat akhirat yang pertama. Jka ia selamat di tempat ini, maka tempat-tempat berikutnya akan dilalui dengan lebih mudah…”

# “..jelaslah tidak ada benteng yang paling kukuh bagi melindungi diri daripada tipu daya dajal melainkan ilmu dan keyakinan..”.

Allahummarham mautaanaa.

Berhadapan dengan kematian bukan perkara yang mudah. Sama sekali tidak. Kita terpaksa berhadapan dengan kehilangan yang abadi, kesedihan, kesunyian, dan kerinduan. Dan tiada apa pun yang dapat menggantikan detik tersebut kecuali dengan kebergantungan kepada Allah taala.

Kita juga disyorkan untuk membaca doa ketika mendapat berita tentang kematian orang yang hampir dengan kita. Doa itu sebagai satu peringatan kepada diri sendiri, agar tabah dan kembali kepada Allah taala.
 
ان لله وانا اليه راجعون اللهم اؤجرني في مصيبتي واخلف لي خيرا منها
 
Dan jikalau kita mendengar berita tentang kematian orang lain, maka boleh juga untuk membaca :
 
ان لله وانا اليه راجعون وانا الى ربنا لمنقلبون اللهم اكتبه عندك في المحسنين واجعل
كتابه في العليين واخلفه في اهله في الغابرين ولا تحرمنا اجره ولا تفتنا بعده 
 
Semoga hati-hati kita ini sentiasa mengingat akan mati dan ketika masanya tiba, kita sudah bersedia. Bersedia untuk menghadapi kematian, dan juga bersedia untuk menghadap Tuhan.
 
Allah…matikan lah kami dalam keadaan husnul khatimah.
  
*********************
 
25 tahun dahulu, seorang insan telah dilahirkan di muka bumi ini. Diciptakan sebagai seorang Khalifah. Digalas dengan amanah dan tanggungjawab. Hari ini, insan tersebut terus membesar. Berkhidmat untuk memberi yang terbaik. Semoga Allah terus memelihara insan tersebut, terus menunjukkannya jalan yang lurus dan terus memimpinnya bersama-sama ke syurga-Nya yang abadi.
 
Selamat hari lahir teman :)
 
 

No comments:

Post a Comment