Thursday 7 November 2013

Oh sejarahku!

Mempelajari sejarah bak menggapai langit biru yang tinggi.
Heeh.

Selama sebulan saya ditugaskan untuk menggantikan tempat seorang pengajar yang sedang safar. Subjek yang diamanahkan kepada saya adalah sejarah islam – dan secara khususnya mengenai zaman jahiliah. Saya bukan seorang yang anti-sejarah. Bukan juga pencinta sejarah. Namun saya sedar (dan tahu) bahawa sejarah membawa kita ke dunia hari ini. Dan penting untuk kita menelusuri subjek ini kerana ‘kita belajar dari sejarah’. =)
Seingat saya (sebenarnya sekarang pun), subjek sejarah merupakan subjek yang membosankan. Manakan tidak, sejarah merupakan subjek yang penuh dengan fakta, fakta dan fakta.  Dan kebanyakkan pengajar subjek Sejarah tidak mengajarnya dari hati. Takde feel. Setakat menyampaikan maklumat dan, daah. Secara peribadi juga, saya merasakan subjek Sejarah susah untuk ‘dihidupkan’ dalam tugasan harian kita. Mungkin boleh (tidak mustahil) tetapi payah.
 
Apabila saya ditugaskan untuk mengajar mengenai zaman jahiliah, saya rasa cuak. Eh betul ke aku yang akan mengajar ini? Saya tidak pernah mengajar subjek Sejarah pada peringkat yang tinggi. Ini adalah kali pertama. Sememangnya, saya terkial-kial untuk mencari sumber dan maklumat. Dan yang paling utama bagi saya adalah untuuk memahamkan diri saya dahulu sebelum saya cuba untuk memahamkan orang lain. Faktor ini sangat penting kerana penyampaian tanpa sebarang pemahaman akan membawa kepada suasana yang kaku. Sangat kaku.
Nak goreng sejarah? Confirm hangus!

Maka bermulalah proses pencarian maklumat dan penghadamannya. Buku-buku yang berkaitan dengan sejarah Islam semuanya dikeluarkan. Buku yang tidak pernah disentuh sebelum ini juga menjadi antara mangsa pembelekan saya. Saya catit isi-isi penting. Mana yang kurang faham, saya selongkar lagi.

Alhamdulillah. Proses pencarian tidaklah sedalam lautan atau setinggi gunung namun ia telah menyingkap banyak perkara-perkara baru, lagi-lagi untuk saya yang jahil sejarah ini. 

#1 : Tahukah mengapa Jazirah Arab dipanggil sebagai jazirah (pulau) sedangkan ia merupakan sebuah kawasan padang pasir?
Ia dinamakan sebagai Jazirah (pulau) kerana ia dikelilingi oleh 3 laut – Red Sea di sebelah barat, di sebelah selatan pula ada Arabian Sea dan di sebelah timur Mediterreanean Sea.

#2 : Bagaimana Mekkah menjadi tempat penyembahan berhala?
Dikatakan terdapat seorang lelaki yang bernama Amru bin Lu’ay yang memulakan amalan menyembah berhala. Dia melihat sebuah kaum di Syam menyembah berhala dan atas rasa minat, dia membawa sebuah berhala pulang ke Mekkah. Ahli Mekkah mula goyah akidah apabila mereka melihat berhala tersebut. Lantas mereka terpengaruh dengan kata-kata Amru yang mengatakan bahawa berhala tersebut yang akan menurunkan rezeki kalau diminta, yang akan memberi kemenangan kepada mereka sekiranya dimohon dan sebagainya.

Sejak itu, Mekkah mula dibanjiri dengan patung-patung dan diletakkan di sekeliling Kaabah. Buku mencatatkan terdapat hampir 360 berhala di sekitar Kaabah ketika itu.

#3 : Mengapa Nabi Muhammad saw diturunkan di Jazirah Arabiah dan bukan di negeri Rom atau Parsi yang ketika itu merupakan dua empayar agung di dunia?
Rom dan Parsi secara umumnya merupakan dua empayar hebat di dunia. Mereka dilimpahi dengan kemewahan dan kekayaan yang tiada tandingannya. Pemikiran mereka juga sudah tercampur dengan akidah yang telah diselewengkan, falsafah-falsafah yang memeningkan dan juga akhlak dan moral yang sudah luntur. Wanita dan harta benda merupakan elemen yang tidak boleh dipisahkan dan sudah sebati dalam diri mereka.

Berbeza dengan kaum Arab – walaupun mereka menyembah berhala, membunuh anak perempuan dan sebagainya – mereka tetap kaum yang memiliki sifat-sifat  mulia. Mereka sangat berpegang kepada janji, berani, menjaga maruah, jujur, amanah dan lain lagi.
Dan kerana itu, Nabi Muhammad diutuskan di sana. Hati mereka masih lagi suci dari sebarang penyelewengan dan masih lagi selamat dari budaya materialistic. Sifat-sifat mulia masih lagi sebati dalam diri mereka.

Antara faktor lain juga adalah disebabkan wujudnya Kaabah, bahasa Arab yang tinggi, lokasi geografi dan sebagainya.

#4 : Siapa yang mula-mula membina Kaabah?
Yang pertama membina Kaabah adalah Nabi Adam alaihissalam. Ini boleh dilihat melalui ayat berikut:

Wahai tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (tanah suci makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahmu yang diharamkan mencerobohinya [14:37].

Apabila Nabi Ibrahim mendapat perintah untuk meninggalkan isterinya Hajar dan anaknya Ismail di kawasan padang pasir, beliau patuh. Ayat di atas mengungkap kata Nabi Ibrahim. Beliau telah menempatkan Hajar dan Ismail di sisi rumahmu yang diharamkan. ‘Rumah yang diharamkam’ merujuk kepada Kaabah al-Haram. Namun Kaabah ketika itu hanya tinggal kerangka sahaja kerana telah dihapuskan oleh musuh-musuh Islam yang terdahulu.
Sememangnya, kita perlu banyak belajar daripada Sejarah. Kalau tidak, orang mampu untuk menyelewengkan kita dengan fakta yang tidak benar.

Memetik kata Ustaz Hasrizal Jamil,

“Jarak di antara Nabi Isa 'alayhi al-Salam dengan Nabi Muhammad sallallahu 'alayhi wa sallam adalah sekitar 600 tahun. Ertinya, dalam tempoh 600 tahun, masyarakat sudah begitu jauh terpesong daripada syariat Allah hingga Allah mengutuskan Rasul untuk mengembalikan manusia kepada agama.

Sedangkan jarak antara Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam dengan kita sudah melebihi 1400 tahun. Satu jarak yang sangat panjang. Satu jarak yang jika dibandingkan dengan jarak antara Isa dan Muhammad, ertinya seperti sudah patut ada beberapa orang Rasul diutus untuk membetulkan kita.

Merenung akan hal ini sepatutnya sudah cukup menggetarkan hati. Menginsafi persoalan yang amat penting iaitu, "ADAKAH SAMA ISLAMKU HARI INI DENGAN ISLAM NABI MUHAMMAD SALLALLAHU ALAYHI WA SALLAM?"

Satu-satunya cara untuk menjawab persoalan itu adalah dengan kembali kepada asas agama ini iaitu ILMU dan BELAJAR.”

Dan saya yakin subjek Sejarah antara ILMU yang perlu dicari dan di-PELAJARI. 
 
Kalau tak minat pun (macam saya), sekurang-kurangnya ambil tahu daripada terus blur sotong!

 

No comments:

Post a Comment