Friday 21 June 2013

Testimoni Novel Terasing





Tajuk : Terasing
Penulis : Hilal Asyraf
Muka surat : 310
Tahun terbit : 2009
Harga : RM 20 (Semenanjung Msia) / RM 22 (Sabah/Sarawak)
 

Terasing. Semua orang pernah melaluinya. Cuma getir atau tidak rasa keterasingan itu bergantung kepada kekuatan dan keimanan seseorang. Terasing bukan setakat pada konsep sahabat. Tetapi jauh dari keimanan juga membawa erti terasing dari Penciptanya.
Jangan risau. Perkara itu tidak akan terjadi kepada kau.
Aku bukan malaikat.

Novel ini mempunyai kaitan dengan novel Sinergi yang lepas. Persahabatan yang dibina oleh Saifullah, Senior, Amiri dan Zaman bermula semenjak zaman persekolahan mereka di MATRA lagi. Hubungan mereka dengan Zaman terputus apabila Zaman menyambungkan pengajiannya ke Maghribi. Terputus hubungan tanpa ada khabar berita langsung.

Semuanya kembali segar apabila Saifullah bermimpikan Zaman menuntut janjinya.

Janji kepada aku dua perkara.
Pertama ingat aku dalam setiap doamu.
Kedua kalau aku jatuh hulurkanlah tanganmu kepadaku. Bila aku bengkok, kau luruskanlah aku.

Novel ini menceritakan bagaimana Zaman kembali ‘hidup semula’ dalam kehidupan mereka setelah sekian lama menghilangkan diri. Kemunculannya sedikit sebanyak menghilangkan kerisauan Saifullah apabila melihat Zaman tidaklah ‘tersungkur’ sebagaimana yang dibimbangi. Hanya dari sudut gaya penampilannya yang berubah ala-ala gangster. 

Namun sangkaan Saifullah rupanya meleset.

Zaman sudah jauh terasing. Semuanya bermula lantaran kecewa mengenai lamarannya kepada Tengku Atikah yang ditolak. Ia semakin meruntunkan jiwanya apabila diketahui bahawa Atikah telah menjadi milik Saifullah. Persahabatan yang dibina sebelum ini hanyut dan hancur. Dia mengasingkan dirinya sehingga bertemu dengan ‘kawan-kawan’ yang telah menyelamatkan dirinya yang telah tersungkur dalam kekecewaannya. Rasa terasing yang dilalui juga menjadikan kehidupannya terhoyang-hayang sehingga dia terjebak dalam komplot jenayah Homurodama.

Kehidupan tidak pernah lekang dari masalah dan ujian. Setiap orang akan diuji. Yang 'jahat' akan diuji. Yang 'baik juga diuji. Untuk apa diuji? Untuk menyakinkan keimanan dalam diri.
 
Saifullah diuji apabila kereta Mercedes Brabus yang dipandunya telah ditembak dengan tujuan untuk membunuhnya. Begitu juga dengan Senior yang rumahnya telah dicerobohi masuk. Nak dikatakan mereka berhutang, rasanya tidak. Bermusuh dengan orang? Atau ada yang berdendam kepada mereka? Mungkin.

Uniknya novel ini ialah kerana ia mengandungi budaya Jepun yang diceritakan dengan baik. Perkataan-perkataan Jepun seperti douzo, haik, itadakimasu yang diselitkan dalam perbualan merancakkan suasana. Deskripsi rumah Zaman yang ala-ala Jepun juga menunjukkan  kepada kepekaan penulis tentang citarasa orang Jepun. Begitu juga dengan kepekaan penulis mengenai karakter Jepun yang terkenal dengan sifat kejujuran mereka.

Jalan cerita ini juga mempunyai twist yang baik. Zaman yang merupakan ‘sahabat’ baik Saifullah telah diundang untuk makan bersama di rumah Saifullah. Zaman telah memberi hadiah kepada setiap ahli keluarga Saifullah. Siapa sangka! Akhirnya undangan bertukar menjadi satu komplot licik Zaman untuk menterbalik-kan Saifullah. Sahabat baik yang tidak teragak-agak untuk menikam sahabatnya dari belakang.

Benarlah hati ini sentiasa berbolak-balik. Yang baik tidak semestinya kekal baik. Dan yang jahat juga tidak semestinya kekal dalam kejahatan.

Isteri kesayangan diculik. Anak-anak permata hati dibawa lari. Hampir sahaja Saifullah ‘tewas’ dengan ujian. Keterasingan yang dirasai; jauh dari gerlipan cahaya yang menerangi hati. Terasa gelapnya dunia. Namun adakah rasa terasing menyebabkan dia jauh dari Allah?

Tidak.
Malah dia menggagahkan dirinya.
Menguatkan keimanannya.
Memperbaiki husnuz zhon dengan tuhannya.

Kesungguhan Saifullah dalam mengotakan janjinya kepada Zaman membuatkan hati saya tersentuh. Subhanallah. Kesungguhannya. Kegigihannya. Keikhlasannya. Walaupun telah melihat ‘kekejaman’ Zaman dan menyaksikan sendiri bagaimana Zaman telah jauh terpesong, dia tetap bersangka baik kepada ukhwah yang satu ketika pernah terbina. Dia tetap gigih untuk menarik Zaman keluar dari kancah neraka yang dibinanya sendiri. Dakwah tetap dakwah. Janji tetap janji.

Saifullah sanggup menggadaikan nyawanya untuk menyelamatkan Zaman walaupun dia tahu dia berhadapan dengan kemungkinan untuk mati. Sejauh mana seorang da’i sanggup menggadaikan dirinya untuk sebuah janji? Sejauh manakah saya dapat menarik sahabat-sahabat saya yang terasing untuk sama-sama ke pintu syurga? Persoalan yang sering sahaja menari-menari di minda saya.

Akhirnya semua berakhir.

Kau hendak matikah?
Dalam hati kau masih ada kebaikan.
Kau benar-benar hendak mengeluarkan aku daripada semua ini ya.
Sebab aku sudah berjanji.

Hanya kerana sebuah janji Saifullah sanggup menggadaikan nyawanya. Tanpa menghiraukan anak dan isteri. Demi mengotakan sebuah janji. Demi seorang sahabat yang bernama Zaman.

********************************

Heeee. Tersengih-sengih saya pada akhir novel ini.

Kau tahu apa hukuman yang akan dijatuhkan untuk orang macam kau?
Hukuman mati?

Aku tak kenal mana-mana orang bernama Zaman dalam Homurodama.

Saya harap ini hanya rekaan semata-mata ya Tuan Hilal. Bukan realiti pada skuad pertahanan di Malaysia ;)

Gaya penulisan yang dapat menggabungkan elemen kebahagian dan elemen ke-gengster-an dengan baik. Ditambah lagi dengan unsur-unsur pengajaran seperti unsur kekeluargaan, aspek perniagaan dan aspek bakti kepada masyarakat. Juga mengajar diri bahawa kebahagiaan boleh dipupuk. Boleh ditanam.

Tahniah sekali lagi.
Memang terbaik.

 

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. assalam, buku terasing, skrg dah takde jual di pasaran, sya teringin sangat nak baca buku tu, jadi boleh x sekiranya sy nk pinjam? Atau kalau awak nk jual pun saya sudi nk beli.
    Terima kasih.

    ReplyDelete