Monday 17 June 2013

Testimoni Novel Relasi




Judul Buku : Relasi
Penulis : Hilal Asyraf
Penerbit : Galeri Ilmu
Harga : RM 15 (Semenanjung Msia) / RM 17 (Sabah/Sarawak)
Tebal : 239 mukasurat

Hanya satu perkataan untuk mendefinisikan isi buku ini : persahabatan. Atas sebab menariknya buku ini, saya hanya mengambil masa beberapa jam sahaja untuk meng-khatamkannya. Manakan tidak, buku ini seolah-olah memahami isi hati saya sebagai seorang remaja yang dalam buku ini memegang watak sebagai Saifullah. Dia merupakan watak utama dalam buku ini. Perjalanan hidupnya sebagai seorang remaja digambarkan dalam bentuk yang santai. Permasalahan-permasalahan yang timbul dalam melayari kehidupannya menggambarkan realiti hari ini. Hidup ini diwarnai dengan masalah. Kita yang menentukan penyelesaiannya.
 
Dalam persahabatan pasti akan berlaku konflik. Hubungan Saifullah dan seorang sahabat yang dikenali sebagai Senior begitu rapat sehingga terjadi satu peristiwa yang menjejaskan persahabatan mereka. Tindakan Senior yang menghalang Saifullah selaku pengawas sekolah daripada bertindak apa-apa terhadap sekumpulan kawan-kawan yang telah menimbulkan permasalahan di sekolah telah mencalar-balarkan ego Saifullah. Saifullah merasai tindakan Senior adalah pengecut dan tidak berlaku adil kepada pihak mangsa.

Keego-an Saifullah untuk tidak memberi peluang kepada Senior untuk menjelaskan perkara sebenar menyebabkan hubungan mereka agak renggang. Namun begitu, Senior begitu sabar dan tenang dalam mendidik Saifullah yang bersifat agak panas baran.

Buku ini juga menceritakan mengenai soal cinta yang begitu dekat dengan hati remaja. Bercinta tidak salah. Ia adalah fitrah. Namun begitu, ia tetap memerlukan mujahadah kepada mendidik hati dan emosi di samping sentiasa mengingatkan diri bahawa cinta sebenar adalah cinta yang halal yang diredhai Allah. Begitu juga dengan Saifullah. Naluri hatinya tertarik dengan Tenku Atikah namun sering ditundukkan dengan zikrullah. Keadaan Saifullah menjadi semakin runsing apabila dirinya difitnah telah menghantar surat cinta kepada Tengku Atikah – seorang gadis yang dalam diam bertakhta di hatinya.

Saifullah juga mempunyai konflik besar dengan beberapa kawan yang ‘bermasalah’ di sekolah. Mereka dikenali sebagai 5 Paksi Kejahatan. Kedudukan Saifullah yang telah dilantik menjadi salah satu ahli Majlis Tertinggi semakin memburukkan hubungan antara mereka. Keadaan menjadi semakin bercelaru apabila salah seorang daripada 5 Paksi Kejahatan itu merupakan anak Kiai Salleh yang sering sahaja memutarkan belit potongan-potongan dari al-Quran dan Hadith untuk ‘membenarkan’ kesalahannya.  

Buku ini boleh saya kategorikan sebagai sebuah novel Islamik yang diselitkan pengajaran mengenai realiti sebuah kehidupan. Lihat sahaja kegigihan Saifullah dalam menguruskan perasaan cintanya terhadap Tengku Atikah. Dia tidak membiarkan dirinya ditenggelamkan dalam arus percintaan bahkan sentiasa ber-istighfar dan mohon agar diberi kekuatan. Lihat juga kesungguhan  Saifullah dalam  menahan sifat marahnya terutama sekali ketika berhadapan dengan musuh-musuhnya.

Di samping itu, buku ini juga menekankan pentingnya seseorang individu untuk mempertingkatkan dirinya dengan pelbagai soft-skills. Saifullah tidak sahaja memiliki satu bakat bahkan lebih dari itu. Dia seorang pendebat, pemain bola tampar, mempunyai kepakaran dalam seni mempertahankan diri dan sekaligus merupakan salah satu dari ahli Majlis Tinggi sekolah tersebut. Dalam apa jua bidang yang diambil, dia merupakan pakar dalamnya. Itulah yang sepatutnya.

Konflik yang berlaku antara mereka terlerai akhirnya apabila Senior sanggup berkorban nyawa untuk menyelamatkan Saifullah dari ditikam. Kata-kata terakhir Senior ‘Bukankah aku sahabat kamu?’ benar-benar menyentuh jiwanya sehingga akhirnya mencelikkan hatinya bahawa itu lah sebenarnya erti sebuah persahabatan. Itulah nilai dan harga sebuah sahabat sejati.

**********************

Sebagai pembaca, saya seronok dengan penyampaian santai dalam penulisan ini. Ia ditambah lagi dengan beberapa potongan ayat al-Quran dan juga Hadith yang menampakkan ‘hidupnya’ Islam dalam kehidupan seseorang. Namun begitu, jalan cerita novel Relasi agak lebih kurang dengan Novel Sinergi. Saya seperti dapat mengagak kesimpulan pada akhir novel dan ini sedikit sebanyak menghambat minat saya untuk mengulangnya.

Apa pun, saya amat tertarik dengan cover photo dan tajuk ‘Relasi’ itu sendiri. Begitu juga dengan font penulisan yang sempoi yang tertulis di hadapan dan belakang novel tersebut.

Semoga penulisan novel akan datang boleh menumpukan kepada aspek kehidupan yang lain seperti hubungan remaja antara keluarga, atau mengenai pengembaraan seorang remaja dalam mencari kebenaran atau identiti diri.

Tahniah Hilal.

 

1 comment:

  1. Oh i read this book before right? Nevermind, shall be mine...soon. plus all ur eng books and malay books and esp the reclaim yr heart by Yasmin Mogahed. dont be stingy in buying books for me! hahahaha bye.

    ReplyDelete