Adakah diri kita masih dibelenggu dengan nafsu yang tidak pernah mengenal erti kepuasan? |
Alhamdulillah.
Masih diberi peluang untuk menghayati awal tahun Islam.
Muharram 1435 Hijrah.
Fikiran saya melayang sejenak ke tahun Muharram sebelumnya – 1434H.
Adakah saya masih seperti ‘saya yang dahulu’?Adakah iman saya bertambah?
Adakah saya semakin matang?
Persoalan-persoalan ini penting untuk direnung kembali. Tidak ada
maknanya sekiranya diri kita masih sama seperti yang dahulu. Setahun berlalu
dan sekiranya tiada perubahan, malu. Malu pada diri sendiri, dan yang semestinya
malu pada pencipta alam ini.
Sekiranya dahulu kita sibuk mencatit perubahan-perubahan yang ingin
dikecapi, adakah pada hari ini kita berjaya mengecapinya? Jikalau pada tahun
lepas kita mengumumkan di Facebook, Twitter, Instagram, blog dan sebagainya, bahawasanya
kita ingin ‘mencipta’ diri kita yang baru, adakah pada saat ini sudah berlaku
transformasi dalam diri kita?
Sungguh, renungan tersebut adalah peringatan kepada diri yang hina
ini.
Diri yang sering sahaja lupa.Diri yang kotor dengan dosa-dosa.
Terdapat sebuah ayat di dalam al-Quran yang bilamana saya baca,
saya dapat merasai hebatnya Allah swt. Ayat yang sungguh mendalam maknanya dan
subhanallah ia menyentuh hati. Firman Allah :
Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan
segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahui-Nya melainkan Dia lah sahaja;
dan ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai
daun pun melainkan ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan
bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada
tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata. [al-An'am 7:59]
Segala apa yang berada di dunia berada dalam pengetahuan Allah
taala. Sehinggakan sehelai daun yang berguguran di muka bumi ini juga dalam
genggamannya. Bayangkan sehelai daun sahaja! Dan bumi Allah itu sungguh luas. Subhanallah.
Benarlah manusia itu sombong. Angkuh. Bongkak.
Apabila berada dalam keadaan yang lemah, baru terkapai-kapai tangan
menadah meminta pertolongannya. Apabila dalam keadaan sihat dan kuat, terlupa
untuk memohon pertolongan darinya.
Teringat kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail ketika mereka
membina Kaabah. Setelah usai Kaabah disiapkan, Nabi Ibrahim segera menadah
tangannya dan berkata, “…Wahai tuhan kami, terimalah usaha kami ini.
Sesungguhnya engkau Maha Mendengar dan Maha Mengetahui,”. Seorang nabi yang
semestinya dan pastinya doa itu diterima, masih dengan sifat tawaddhu’ dan
khusyuk’ berdoa agar diterima amalan ibadat mereka. Bagaimana kita sebagai insan biasa dan hambanya yang masih dikaburi
dengan titik-titik hitam? :(
Masih belum terlewat untuk kita tanamkan dalam diri supaya sentiasa bergantung kepada Allah. Sehinggakan perkara yang mudah atau remeh, biarlah Allah yang menjadi tempat kita berharap.
Semoga awal Muharram ini menjadi satu pembakar semangat untuk kita terus mengorak langkah mengejar kebaikan. Fastabiqul khairat. Biarlah kini, langkah ini semakin laju, semakin pantas kerana kita tidak tahu apakah yang menanti kita di hari kemudian. Masih hidupkah kita? Atau sudah tiba ajal kita?
Semoga awal Muharram ini menjadi satu pembakar semangat untuk kita terus mengorak langkah mengejar kebaikan. Fastabiqul khairat. Biarlah kini, langkah ini semakin laju, semakin pantas kerana kita tidak tahu apakah yang menanti kita di hari kemudian. Masih hidupkah kita? Atau sudah tiba ajal kita?
Biarlah perubahan kita sedikit tetapi istiqamah.
Biarlah hanya kita yang tahu.
Biar kita sendiri yang menilai.
Ayuh langkah pertama adalah kita bersihkan hati. Istighfar.
Muhasabah diri.
Kemudian siruu ‘ala barakatillah.
Salam awal Muharram.
Salam 1435H.:)
No comments:
Post a Comment