Tuesday, 18 June 2013

Testimoni Novel Sinergi

Gambar google ^^

Tajuk : Sinergi
Penulis : Hilal Asyraf
Penerbit : Galeri Ilmu
Mukasurat : 491
Tahun terbit : 2010
Harga : RM 23 (Semanjung Msia)/ RM 25 (Sabah/Sarawak)

Siapa sangka tugasan mereviu buku akhirnya menyebabkan timbulnya bibit-bibit cinta kepada penulisan Hilal Asyraf terutama sekali novel Sinergi. Jatuh cinta hingga sekarang! Buku yang menyebabkan saya berfikir secara mendalam erti sebuah dakwah. Bukan wang duit yang dikecapi. Jauh sekali gelaran dan kasih sayang. Dakwah hanyalah untuk menyentuh hati-hati yang alpa. 

Aku mahu hati manusia.

Irfan dan Asid merupakan dua sahabat baik. Mereka sangat akrab sehinggakan kadangkala mereka boleh saling memahami melalui telepati. Tidak perlu kata-kata. Terhubung secara semulajadi melalui hati yang suci. Kedua sahabat merpati sejoli ini saling mengingatkan antara satu sama lain.

Saya terkesan dengan kesungguhan Irfan dan Asid dalam berdakwah. Terutama sekali usaha mereka untuk merapatkan diri dengan Disaster Five yang sering sahaja menimbulkan huru-hara di kalangan PERMAI Jordan. Pelbagai langkah dan usaha yang diambil untuk mendekati mereka. Dakwah juga sebenarnya memerlukan perancangan yang licik. Ini soal hati. Ini soal maruah. Ini soal Islam.

Dalam berdakwah, soal memenangi hati mad’u penting. Itu yang diusahakan oleh Irfan dan Asid. Sentiasa cuba untuk merapatkan diri mereka dengan Disaster Five. Menghantar makanan di pagi raya, menghantar halawiyat Kinafah kegemeran Yusuf, bertegur-sapa walaupun dibalas dengan cemuhan atau kata-kata kasar dan sentiasa tersenyum apabila melihat mereka. Tangan yang dihulur dengan keikhlasan mana mungkin tidak, pasti menyentuh hati-hati sekalipun ia hati yang berbatu!

Dakwah secara jamai’ juga memerlukan kepada teknik. Jikalau payah untuk menarik mereka sekaligus, boleh dimulakan dengan yang paling ‘berpotensi’ untuk berubah. Dalam novel ini, target pertama mereka adalah Yusof. Irfan mula terperasankan Yusof yang duduk keseorangan di Masjid ketika Eidul Fitri. Kesempatan ini diambil dengan bersalaman dengannya dan memeluknya erat. Penuh ukhwah. Pelukan ini sedikit sebanyak berbekas di hati Yusof namun egonya yang tinggi menghalangnya untuk merasai kebahagiaan pada persahabatan. Sejak itu, Irfan sentiasa mencari peluang untuk mendekati Yusof kerana melihat kecenderungannya kepada kebaikan berbanding dengan empat kawannya yang lain.

Usaha itu diteruskan. Selepas berjaya menghambat hati Yusof, diteruskan pula dengan Harith, Wafiq, Muiez dan akhir sekali Bad. Kesemua mereka mempunyai ceritera sendiri bagaimana keinsafan mula menyalur dalam diri mereka. Semuanya adalah hasil kesungguhan dan doa dua sahabat – Irfan dan Asid.

Remaja sering sahaja dikaitkan dengan cinta. Lihat sahaja bagaimana dua remaja mengurus perasaan cinta – melalui redha Allah atau kemurkaannya? Asid jatuh cinta dengan Sara Nasuha. Wafiq pula jatuh cinta untuk mengisi kekosongan jiwanya. Asid apabila ‘kehilangan’ Sara Nasuha kepada sahabat baiknya sendiri, dia kecewa. Emosinya terganggu. Namun dia tidak membiarkan perasaannya itu hanyut dengan kekecewaan dan kesedihan. Bahkan dia menenangkannya dirinya dengan pengisian dari sahabat se-fikrahnya Ammar Zulkifli. Akhirnya dia bangun dan sedar bahawa cinta yang dibina atas keimanan adalah cinta yang menjadikan Allah sebagai matlamatnya, dan bukan wasilah untuk mendapatkan wanita yang dicintai itu.

Berbeza dengan Wafiq. Cintanya palsu. Dibina atas dasar ‘mengisikan jiwanya yang kosong’ dan akhirnya memakan dirinya sendiri.

Kepakaran seseorang dalam sesuatu bidang hanya dapat dimanfaatkan sekiranya ia untuk Islam. Lihat sahaja kelebihan pada setiap ahli Disaster Five. Wafiq Wasim yang masya allah ketampanannya. Yusuf Erham yang subhanallah mewahnya. Harith Farhan yang gagah perkasa tubuhnya mampu menumbangkan pihak lawan dalam sekelip mata. Muiez Iskandar yang sangat pakar dalam bidang IT. Badruddin Jamil yang tidak pernah lekang dengan idea gilanya.

Kesemua ini adalah anugerah.
Aungerah yang sekiranya dimanfaatkan untuk Islam, besar pahalanya.

Mutiara-mutiara yang dikutip sepanjang pembacaan novel ini menjadikan jiwa terisi. Melihat dakwah itu dari satu persepsi yang berbeza. Cuba untuk menghadam setiap patah perkataan yang maksudnya begitu mendalam dan menyentuh.

Persahabatan itu indah.
Lebih indah jika ia di-sinergikan dengan keimanan.
Yang biasa dijadikan luar biasa.
Yang lemah menjadi kuat.
Yang kuat menjadi semakin kuat.
Subhanallah.

*****************************

Pada pertama kali membaca novel Sinergi, hati saya merintih-rintih untuk tidak menghabiskan novel ini. Manakan tidak, seronok sangat membacanya sehingga tidak mahu novel itu sampai ke penghujungnya.

Jalan cerita yang menarik.
Mampu membuatkan diri ini berfikir dengan mata hati.
Mengetuk diri yang alpa bahawa dakwah itu perlukan kesabaran,
Dan juga kegigihan yang jitu.

Hanya doa mampu dititipkan untuk penulis.
Semoga diterima.

Doakan aku.
Sejak bila aku pernah lupa doakan kau? - Sinergi


No comments:

Post a Comment