Thursday, 30 May 2013

Sekeping Surat dan Kasut Coklat

Gambar hiasan sahaja.
“…assalamualaikum wa rahmatullah…”. Kepala dipusingkan sedikit ke kanan.
“…assalamualaikum wa rahmatullah….”. Kali ini ke kiri pula.

Alhamdulillah. Selesai solat Zohor kami berdua secara berjemaah. Hari ini hari Jumaat. Rasa gembira kerana dapat meraih pahala berjemaah (insha allah). Semoga Allah terima.
Ketika kami sedang bersalaman, tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi kerusi di bahagian lelaki berkeriut. Seolah-lah ada seseorang baru bangun dari kerusi itu.

Saya hairan.
Eh? Hari ni kan Jumaat. Kenapa ada muslimin di surau lagi?

Pantas saya melihat jam.
Jam menunjukkan 1.30 tengahari.

Kehairanan kami tidak berakhir di situ. Kedengaran bunyi air paip mengalir pula. Sah! Memang ada seseorang di sebalik tabir biru itu!
Aduhh!

"Cepat cepat! Masih sempat untuk mengejar solat Jumaat," Hati kecil saya mendesak.
Sangkaan saya meleset kerana kedengaran takbir dari bahagian surau lelaki.

…solat zohor?
Dia lupa ke…?
Atau dia sedang bermusafir…?

Persoalan demi persoalan menari-nari di fikiran kami. Rasa bersalah jika tidak menegur.

Saya memberanikan diri untuk mengintip bahagian lelaki yang dipisahkan oleh tabir biru. Mengintip macam spy!
Oh! Dia berpakaian t-shirt biru dan berseluar track hitam. Agak kurus orangnya.
Saya dan seorang teman sudah seperti cacing kepanasan. Kami sedang memikirkan cara terbaik untuk menegurnya. Perlukah kami menegurnya di sebalik tabir? Atau menyingkap tabir itu dan menegurnya secara berhadapan?

Teringat hadith Rasulullah yang bermaksud, “…jikalau kamu nampak kemungkaran,
maka tegurlah dengan tangan. Jika tidak mampu, maka dengan lisan.
Dan jika tidak mampu, maka tegurlah dengan hati. Itu merupakan selemah-lemah iman....”.

Surau yang pada mulanya hanya ada kami, mula dipenuhi oleh beberapa muslimat yang hendak mendirikan solat Zohor. Takkan lah nak tegur ketika ramai muslimat nie? Mesti dia malu nanti.
Akhirnya, kami membuat keputusan untuk membuat surat layang yang mengandungi nasihat untuknya.

Wahai pemuda Islam,

Kami tidak tahu sebab apa kamu tidak mendirikan solat jumaat di masjid.
Kami yakin kamu tahu bahawa solat jumaat itu wajib didirikan oleh seseorang muslim.
Semoga kamu dapat menjalankan tanggungjawab sebagai bakal suami dan juga seorang imam.

Dari kami yang prihatin mengenai ketaqwaan kamu.

Surat yang ditulis itu bertujuan hanya untuk menasihatinya. Kami tidak mahu pemuda itu rasa bersalah. Ada seribu kemungkinan mengapa dia berada di surau ketika waktu solat Jumaat. Mungkin benar dia seorang musafir. Atau mungkin dia sakit. Atau mungkin dia ada alasan yang tidak kami ketahui. Maka surat itu hanya merupakan satu nasihat ikhlas untuk dia. Mungkin juga….kami yang salah!
Usai menulis, timbul lagi masalah.

Macam mana nak kasi surat  dekat dia??
Kita beri salam, lepas tu kasi dekat dia nak? *geleng kepala*

Sekali lagi, saya memberanikan diri untuk mengintai. Lelaki itu sedang berehat di atas kerusi usang surau tersebut. Matanya dipejam. Seolah-olah berehat.
Tiba-tiba rasa bersalah.

Mungkin….dia sakit kan!
Allahh….kami kebuntuan.
Akhirnya….keputusan dibuat.

Kita letak surat layang dalam kasut dia nak? Mesti dia akan baca kan!

Kami segera keluar surau, dan meletakkan surat tersebut ke dalam kasutnya yang berwarna coklat. Lafaz basmalah disebut sambil hati berdoa, ya Allah sampaikan lah kebenaran kepada kami dan dia. Jikalau benar dia meninggalkan solat Jumaat tanpa alasan kukuh, bukakan lah hatinya. Dan jikalau kami yang salah, maafkan lah kami.

…..semoga surat itu menjadi bukti bahawa kami sudah menyampaikan.

Terimalah.

********************************

Ini merupakan cerpen gabungan saya dan seorang teman, Nuriffah Atikah Zainal. Ia ditulis dalam bentuk cerpen kerana ingin mencuba kelainan pada bentuk penulisan (macam paham...). Apa pun, semoga dapat meraih manfaat daripada kisah ini.
 
Oh! Ini cerita benar ya! ^^
Bukan rekaan dan dongengan semata.

No comments:

Post a Comment